Kisah Benar : Pemuda dibelit ketika berzina.
Melihat pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta
baru-baru ini mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan
terkutuk di dalam hutan terutamanya di pusat-pusat perkelahan
mengingatkan….
Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu
menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu,” beritahu Ustaz Abdullah
Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang
tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi
penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan
remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si
wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan,
hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
“Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi.
Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak
dapat membezakan antara halal dan haram,” tegas beliau dengan nada
kesal. Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di
pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah
menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu
datang untuk meminta pertolongannya.
“Apa yang boleh saya bantu encik?”
Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu
untuk menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki
itu mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz
Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana
berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah
besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan
agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.
“Ustaz…macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika
tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang
saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular
besar datang membelitnya.”
“Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular,” beritahu lelaki itu ringkas.
Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung
memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu.
“Awak pernah pukul ular ke?”
Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu
menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular.
Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular
dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering
terkejut.
Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh
meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam
bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. “Selalunya kalau jadi
macam ni, pasti ada sebabnya.
Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak
akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua
bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang
itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya.
Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah
melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.”Tak
perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud
hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit
saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan
kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah.
Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki
tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan
mata dengan Ustaz Abdullah. “Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit
ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini,
sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,”
akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus
bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali
setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya
pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian
itu berlaku sebelum mereka bertunang. Pada suatu hari, mereka yang
mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor
mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor.
Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk
pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka
mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama.
Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ
pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana,
pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu.
Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada
gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap.
“Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya
dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah
enam bulan.
Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu,” nyata
lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan
yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di
dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok
balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi.
Seorang manusia pun tidak kelihatan.
Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa
gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di
sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang
membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka
berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian
lain pula.
Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan
kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si
perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula
menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa
menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor
ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram.
“Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya
tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan
membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami
hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat
belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba
pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular
itu menjerut tubuh mereka.
“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak
ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus
diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana
belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti
tidak sabar-sabar hendak menelan saya,” beritahunya tanpa segan silu
lagi.
Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah
kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya
tidak terdaya menandingi ular besar itu.
Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut. Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. “Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut.
“Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu
bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan
semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk
menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti
siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada
mulanya dia sedang mengintai saya buat “projek,” cerita lelaki itu lagi.
Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak
teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya
patah dua batang tulang rusuk.
Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan
dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh
keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering
dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan
akibat patah tulang rusuk.
Akibat “badi” itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan
walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada
banyak ular. Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah
apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau
telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan
perbuatan zina.
Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa
dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka
itu. “Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak
berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf
dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi
Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak
pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina,”
nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil
berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin.
Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk
mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan
itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang.
Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu
menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh
sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.
Sumber: DI SINI
*Admin BudakSkema nak ambil kesempatan mengingatkan semua di luar sana sentiasa ingat baik buruk sebelum lakukan sesuatu. Fikir dahulu, jangan nak main REDAH je!!! Ini adalah kisah benar yang di ambil daripada sumber lain untuk kongsian bersama dan menjadi pengajaran kepada semua.
Sempena bulan yang sering dikunjungi dengan "Hari Kekasih", silalah jaga diri anda...jaga batas-batas anda. Sekian.
Terima kasih atas perkongsian.
ReplyDeleteMoga perkongsian ini dapat memberi peringatan kepada semua dan diri saya. InsyaAllah.
Insya-Allah...sama-sama lah kita...
ReplyDelete