Monday 13 February 2012

Rasuah: Tiga pasukan Utama Liga-M disiasat SPRM

Ini pula tentang Dunia Bola Sepak. 



Isu Rasuah Bola Sepak Malaysia

Isu rasuah bola sepak Malaysia kembali bergema

Belum pun reda isu rasuah melibatkan 11 pemain dan ketua jurulatih skuad Piala Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mendedahkan tiga pasukan Liga Malaysia kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung mengatur perlawanan musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM Tan Sri Aseh Che Mat berkata FAM bersama SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Tanpa menamakan tiga pasukan yang terbabit, Aseh bagaimanapun melahirkan rasa kecewa apabila salah satu pasukan yang disyaki itu pernah ditadbir olehnya dahulu.

Beliau berkata tindakan adil dan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat sebagai pengajaran kepada pemain lain.

“Saya akan mengambil tindakan drastik menerusi Lembaga Tatatertib FAM bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan mencemar imej bola sepak negara itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini Isnin.


Sebagai langkah awal mengawal kes rasuah bola sepak, Aseh berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat mereka yang terlibat atau yang dalam siasatan daripada keluar atau masuk ke negara ini.

Beliau turut mendedahkan wujudnya kelompok besar sindiket pengatur keputusan perlawanan bola sepak di negara ini dan ia membabitkan juga sindiket dari luar negara.

“Kita akan berkerjasama dengan PDRM mengumpul bukti kukuh terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan memastikan penjenayah tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Apa guna menangkap tanpa bukti kukuh menyebabkan mereka bebas kembali mengulangi jenayah tidak bermoral ini,” katanya.

Aseh berkata FAM akan mewujudkan jawatankuasa baru dalam FAM iaitu Jawatankuasa Koordinasi dan Integriti sebagai sekretariat sepenuh masa membantu bekerjasama dengan pihak berkuasa membenteras rasuah bola sepak di negara ini.

“Kita akan umumkan nama dua individu terdiri daripada pesara pegawai kanan PDRM dan SPRM bagi mengisi jawatan baru tersebut tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aseh mengumumkan nama tujuh pemain import yang telah mendapat kelulusan FAM beraksi di saingan Liga Malaysia.

Mereka ialah Phillimon Chipeta yang pernah bermain dengan Liga Syria untuk pasukan Selangor PKNS, Eduara Sakhnevich dan Boris Kochkin yang pernah bermain dalam Liga Bangladesh menyertai pasukan Pahang, Michael Chukwubunna Ijezie (Nigeria) dan Junior John Bamidele Emmanuel (Kemboja) menyertai Betaria FC, Muriel Juan Orlando (Argentina) bagi Johor FA dan Fokim Fom Fondo (Cameron) bersama Johor MBJB.

Beliau berkata tiga pemain import lain masih lagi menunggu Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) (International Transfer Certificate) dari kelab masing-masing. — BERNAMA

Sumber : Sokernet.com

No comments:

Post a Comment